1.0 PENGENALAN
1.1 SINOPSIS CERPEN
Tajuk: Si Kecil itu.
Penulis: Khaulah Al-Azwar.
Cerpen ini mengisahkan seorang wanita bernama Mu’minah. Mu’minah baru sahaja tiga bulan menamatkan tugasnya sebagai mahasiswa lepasan Universiti Yarmouk di Jordan dan bekerja sebagai salah seorang tenaga pengajar di Shah Alam. Dia adalah anak tunggal perempuan Puan Zulaikha, juga adik kepada Shamimi yang mempunyai seorang anak bernama Athirah. Athirah yang berusia dalam lingkungan setahun lebih telah ditinggalkan bersama Mu’minah sebaik sahaja kakak iparnya, Farhana dan shamimi menghilangkan diri selepas seminggu penceraian mereka. Sebagai seorang yang masih muda dan mentah mengenai selok-belok rumah tangga, dia agak kekok dan sedikit terbeban dengan amanah yang diberi kepadanya. Baginya, tugas untuk menjadi seorang ibu tanpa sebarang pengalaman sedikit sebanyak mempengaruhi emosi, personaliti dan psikologinya. Begitu banyak cabaran yang perlu dihadapinya. Walaupun ada kalanya tindakannya hampir melangkaui batas kesabaran dan emosinya begitu bercelaru memikirkan tanggungjawab sebagai seorang ibu, namun berkat pegangan agama yang ada dalam dirinya serta pujukkan daripada ibunya menyebabkan dia nekad menjaga Athirah walaupun pada dasarnya dia tidak begitu yakin dengan keputusan itu. Dia cuba dan terus memupuk rasa kasih dan sayang terhadap Athirah dan memberikan didikan agama dan asuhan yang terbaik untuknya sehingga dewasa serta tetap dengan pendiriannya untuk tidak sesekali menyerahkan Athirah kepada keluarga Farhana walaupun tanpa sebarang pertolongan dan khabar berita daripada Shamimi. Dia tidak mahu membiarkan Athirah dibesarkan dalam ketandusan kasih sayang dan agama. Dia mahu Athirah dididik dari acuan ajaran Islam untuk mengenal Tuhan. Dalam kesempitan yang dilaluinya sebenarnya ada kesempatan yang dipereroleh. Kehidupan bersama Athirah banyak mengajarnya erti kesabaran dan penggantungan pada Ilahi. Berkat kesabaran dan niatnya yang suci, akhirnya Shamimi memunculkan diri setelah hampir lima bulan menghilang. Shamimi cuba menduga kemampuan Mu’minah utuk menjaga anaknya tambahan pula gaji Mu’minah agak kecil. Namun,bagi Mu’minah rezeki Athirah sememangnya telah ditetapkan oleh Allah. Dia yakin dapat menjaga Athirah dengan sebaik mungkin. Shamimi yang lega dengan keyakinan Mu’minah untuk menjaga anaknya berjanji akan membantu membiayai perbelanjaan Athirah dengan memasukkan RM500 ke dalam banknya setiap bulan. Kenyataan Shamimi tadi menjadikan Mu’minah lebih dekat pada Allah kerana dia begitu teruja dengan janji Allah. Benarlah Allah tidak pernah memungkiri janji. Cerpen ini diakhiri dengan firman Allah, “ Allah pasti menolong mereka yang membantu agamanya ”.
1.2 SINOPSIS NOVEL
Tajuk: Tunggu Teduh Dulu.
Penulis: Faisal Tehrani.
Novel ini mengisahkan tentang kegigihan dan ketabahan hidup Salsabila Fahim dalam mengharungi liku-liku kehidupannya. Salsabila merupakan seorang bekas mahasiswa Pengajian Pentadbiran di sebuah university di Amerika, juga adalah seorang usahawan pertanian yang mengusahakan tanah peninggalan arwah ayahnya yang seluas lima hektar dengan merencanakan penanaman betik secara besar-besaran. Dibantu oleh sahabat karibnya, Teh Sofia, Mereka menongkah arus dan membuktikan wanita juga mampu bersaing dengan lelaki dalam dunia tani dan niaga yang penuh licik dan melelahkan. Ladang betik mereka diberi nama Tunggu Teduh Dulu. Dia mempunyai seorang adik tiri bernama Shahruzzaman yang telah berkahwin dengan mimi serta ibu tiri yang sudah tua serta uzur yang selama ini membenci akan kehadirannya sejak kecil lagi. Shahruzzaman sejak dari awal cerita lagi digambarkan dengan perwatakan liar dan sering mengancam dirinya kerana sentiasa inginkan wang akibat terlibat dengan dadah dan pinjaman wang dari Along tetapi akhirnya berubah dan insaf setelah dimasukkan ke Pusat Serenti selepas berkahwin dengan Mimi. Novel ini juga cuba menyampaikan bahawa setiap makhluk di alam ini adalah milik mutlak Allah dan Dia boleh mengambilnya pada bila-bila masa. Ini terpancar dalam novel dengan apa jua `kesenangan' dimiliki oleh Salsabila akan kembali kepada pemilik sebenarnya seperti kasih sayang yang baru diperoleh daripada ibu tiri dan adik tetapi mereka akhirnya kembali ke rahmatullah. Begitu juga dengan tanah yang dikerjakan dengan penuh kecintaan dan sungguh-sungguh akhirnya diambil untuk projek lebuh raya. Novel ini juga menceritakan tentang kisah Salsabila yang mempunyai dua lagi sahabat karib yang dikenali sejak kecil lagi iaitu Lam Ping Hai dan Kamil Zahidi. Walaupun Salsabila masih setia berpaut dengan kemurnian persahabatan lalu dengan Lam dan Kamil, namun jejaka-jejaka tampan ini pula menghulur dan menagih cinta sehingga wanita itu nanar untuk membuat keputusan. Namun isu lebih menarik ditampilkan ialah bagaimana Lam Ping Hai atau Saifullah menerima syahadah atau menerima tauhid sebagai darah dagingnya, iaitu setelah hasil penyelidikan mendalam tentang Islam. Tauhid pada Lam memberikan ketenangan jiwa yang tidak dapat dibayangkan. Di sini juga muncul secara mendadak watak Sazli yang memberi kesan besar dalam hidup Salsabila. Kehadiran ketiga-tiga lelaki ini menyebabkan Salsabila dengan konflik percintaan tiga segi bersama teman sejak kecil antara Kamil, Zahidi dan Lam Ping Hai atau nama Islamnya, Saifullah dan juga bekas pekerja ladangnya, Sazli. Namun akhirnya, atas kuasa qada dan qadar Allah s.w.t., Salsabila mengambil keputusan mengahwini Sazli Zainuddin, seorang bekas pekerja ladangnya yang jauh lebih muda malah sebaya dengan umur adiknya, 20 tahun dalam satu pertemuan di Mekah, sewaktu mengerjakan umrah bersama ibu tirinya. Jodoh pertemuan mereka ini juga adalah hasil doa ibu tirinya dihadapan kaabah yang memohon agar Salsabila ditemukan jodoh di situ. Perkahwinan mereka yang dilangsungkan di sana dengan pengetahuan ibu dan adik beradik sahaja menjadi sedikit kecoh kerana dia tidak menceritakan langsung kepada saudara-maranya yang lain termasuk sahabat karibnya Teh Sofia. Mereka hanya mengetahui akan perkahwinan Salsabila selepas Salsabila benar-benar bersedia mengadakan majlis kenduri di rumah ibu mertuanya di kampung. Hal ini kerana Salsabila khuatir sekiranya perkahwinan mereka menjadi bahan buah mulut orang kampung yang tidak memahami situasi sebanar yang berlaku tambahan pula dia berkahwin selepas ibunya meninggal dunia di Mekah dan pulang ke kampung tanpa ditemani Sazli. Novel ini diakhiri dengan kisah hidup antara Salsabila dengan Sazli selepas pertemuannya dengan Sazli yang pulang ke tanah air tanpa menamatkan pengajiannya di Jerman.
2.0 LAPORAN ANALISIS CERPEN
2.1 GAMBARAN WATAK UTAMA
2.1.1 Mu’minah.
a) Bertanggungjawab, berpegang kuat dan patuh pada agama.
Dia kerap mengingati firman Allah dalam setiap perkara yang dilakukan serta sering melakukan solat sunat dalam ibadahnya. Dia bertanggungjawab memikul tugas mendidik dan mengasuh Athirah sebaik sahaja anak itu ditinggalkan oleh kedua ibu bapanya selepas berlaku penceraian. Tambahan pula, sebagai seorang yang berpendidikan agama dia berasa amat bertanggungjawab mendidik Athirah mengenal Islam dan Allah.
b) Tabah dan penyabar.
Dia sabar dan tabah menjaga Athirah walaupun menghadapi pelbagai kesukaran terutamanya dari segi emosinya yang tidak bersedia. Walaupun gajinya sedikit dia sentiasa mengingatkan dirinya untuk memberikan yang terbaik bagi membesarkan Athirah. Dia juga sabar dengan kerenah abangnya yang pada mulanya seperti melepaskan tangan.
c) Bersifat keibuan dan mudah tersentuh.
Dia sering memeluk dan menyanyangi Athirah. Dia membuat bajet untuk perbelanjaan mereka. Dia sentiasa memikirkan masa depan Athirah. Hatinya mudah tersentuh dan ada kalanya menangis memikirkan Athirah yang ditinggalkan ayah dan ibu. Dia juga menagis apabila dia merasakan yang dirinya sukar untuk mencurahkan kasih sayang kepada Athirah.
d) Cepat sedar apabila melakukan kesilapan.
Setiap kali terasa marah dia cepat beristighfar agar mendapat petunjuk daripada Allah.
2.2 JENIS-JENIS EMOSI YANG TERDAPAT DALAM CERPEN DAN PENGAPLIKASIAN KAEDAH INTROSPEKTIF.
Situasi 1:
Mu’minah tidak dapat menafikan bahawa kehadiran si kecil ini semenjak dua minggu yang lalu sedikit sebanyak telah mempengaruhi personaliti, psikologi dan emosinya. Gelaran puan, masa yang terhimpit, kerja yang terbatas dan sara hidup yang makin bertambah bagaikan menghimpit lenanya sejak akhir-akhir ini.
Petikan di atas menunjukkan emosi tertekan. Sememangnya perasaan tertekan ini wujud dalam situasi sebegini, lebih-lebih lagi pada seseorang yang tidak mempunyai sebarang persediaan dan pengalaman dalam menguruskan hal keibubapaan. Namun, bagi mengurus emosi ini kita perlu merasionalisasikan pemikiran. Dalam proses ini, kita perlu memikirkan beberapa alasan sebagai salah satu cara mengecualikan diri daripada melakukan kesilapan dan kekurangan walaupun kadang-kala alasan atau sebab-sebab yang difikirkan itu tidak begitu nyata. Antara rasionalisasi yang dapat dilakukan bagi menghadapi situasi ini ialah berfikir dan merasakan bahawa personaliti sebagai “Puan” adalah satu anugerah dan tanda hormat individu lain kepada kita seolah-olah kita adalah “madam”. Masalah masa yang terhimpit dan kerja yang terbatas pula sebenarnya hanya disebabkan kita memikirkan kualiti kerja yang dihasilkan kerana kita sebenarnya berpegang pada kata-kata “ it is not how much time you spend at the office, it is how the time is used ”. Walaupun tindakan ini hanya sekadar alasan namun pada dasarnya kita sebenarnya sedang cuba mencari motivasi dalaman diri dan menghindari konflik dalam diri dengan cara yang tepat.
Situasi 2:
… dalam solat Duha Mu’minah kali ini tidak setenang biasa kerana telingannya jelas menagkap bunyi barang-barang bertaburan jatuh di dalam bilik bacaannya. Hatinya tidak sabar untuk menyudahkan solat. Fikirannya pula sudah galak membuat andaian perkara buruk yang sudah berlaku. Selesai memberi salam dan tanpa berlengah lagi dia ke bilik tersebut tanpa sempat membaca wirid dan doa. Ketika kaki Mu’minah menapak betul-betul di muka pintu bilik bacaan, matanya membuntang dan dadanya berombak kencang menahan nafas yang turun naik tatkala melihat jam mejanya hancur berkecai. Buku-buku yang disusun kemas di atas rak pula bertaburan di atas lantai. Novel kesayangan Mu’minah pula terkoyak dua ada di genggaman Athirah. Dengan perasaan geram yang tidak tertahan lagi mulut Mu’minah lancang mengeluarkan kata-kata yang berbaur kesat. “ Kau memang menyusahkan aku.” Tengking Mu’minah dengan perasaan geram yang tidak tertahan lagi.
Petikan di atas menunjukkan emosi marah dan geram. Emosi ini amat jelas dikesan iaitu melalui ekspresi muka iaitu mata membuntang dan dada berombak kencang menahan nafas. Sememangnya kita akan berasa marah apabila berlaku keadaan seperti ini. Namun bagi mengurus emosi ini kita seharusnya cuba sedaya upaya untuk sentiasa menahan dan mencabar setiap pemikiran yang membawa kemarahan. Menurut pakar psikologi, marah adalah emosi sekunder di mana dibelakangnya tersimpan emosi primer seperti resah, duka, hampa kehilangan, takut dan sebagainya yang terbit kerana terdapat keperluan yang tidak diselesaikan. Kemarahan boleh membawa banyak kerugian dalam hidup kita sekiranya tidak diurus dengan baik. Dalam hal ini, sekali lagi kita perlu menggunakan strategi merasionalisasikan pemikiran dengan cara membuat alasan bahawa kita masih bernasib baik kerana hanya jam meja yang hancur berkecai dan novel kesayangan terkoyak dua bukan Athirah, anak saudara yang disayangi berkecai kepala akibat dihempap rak-rak buku di situ. Hal ini kerana harta benda boleh dicari ganti tetapi nyawa tidak boleh ditukar ganti. Justeru, sikap “ making the best of what you have” adalah cara pelarasan yang sesuai untuk menghadapi keadaan yang susah terutamanya dalam keadaan mengawal kemarahan sebegini.
Situasi 3:
Mu’minah merancang ingin Berjaya dalam kerjayanya terlebih dahulu sehingga mengabaikan soal pasangan hidup dan rumah tangga. Bukan kerana tidak ada laki-laki yang sudi menyuntingnya tetapi Mu’minah tekad dengan cita-citanya itu. Dia ingin Berjaya dalam kerjayanya dan ingin membalas jasa orang tuanya terlebih dahulu. Selepas azam dan cita-citanya tercapai barulah dia ingin memikirkan soal rumah tangga. Dia ingin memberi komitmen sepenuhnya dalam menjayakan misinya itu. Tetapi kehadiran anak kecil ini membuatkan dirinya tercampak di satu daerah kekeliruan.
Petikan di atas menunjukkan emosi bercelaru dan tidak puas. Sememangnya diakui bahawa perasaan seperti ini akan hadir kerana rasa bercelaru disebabkan terlampau memikirkan pelbagai perkara yang harus dilaksanakan manakala tidak puas kerana belum sempat mencapai cita-cita yang diimpi muncul pula tanggungjawab baru yang harus dilaksanakan. Strategi yang terbaik untuk mengurus emosi ini ialah dengan cara menangguh kehendak (late gratification). Justeru dalam hal ini kita perlu menangguhkan hajat untuk mencapai cita-cita yang diimpikan buat sementara waktu sehingga diri berasa benar-benar lebih yakin untuk melaksanakannya bukan mengetepikan terus impian itu. Dalam hal ini kita seharusnya optimisme dengan melihat masalah sebagai akibat daripada keadaan yang boleh diurus bukan dari satu kekurangan personal. Hal ini secara tidak langsung mewujudkan kesedaran sosial melalui sikap empati yang boleh dizahirkan dengan cara peka, prihatin, memahami perasaan dan keperluan Athirah dan bersedia membantunya. Alternatif pengurusan emosi yang lain adalah dengan kaedah spiritual sama ada dengan cara bersolat mahupun memperbanyakkan doa bagi mencari redha Ilahi kerana ternyata bahawa agama mampu memberi ketenangan yang diingini untuk menghadapi kecelaruan emosi.
3.0 LAPORAN ANALISIS NOVEL
3.1 GAMBARAN WATAK UTAMA
3.1.1 Salsabila Fahim.
a) Gigih dan tabah.
Dia gigih mengusahakan ladang betik di tanah pusaka arwahnya. Dia sama-sama turun padang bersama-sama pekerjanya dalam usaha memastikan tanamannya berjaya. Kegigihan dan ketabahan Salsabila juga terserlah ketika dia melayani kerenah rakan karibnya, Teh Sofia yang merajukkan diri ke luar negara kerana cemburu buta terhadap persahabatan yang terjalin antara Salsabila dan Kamil. Walaupun menghadapi pelbagai masalah pada saat itu, Salsabila tetap tidak berputus asa berusaha mengendalikan ladang betik tanpa bantuan daripada Teh Sofia. Dia juga tetap tabah walaupun menghadapi pelbagai cabaran dalam mempertahankan haknya untuk membangunkan pertanian di ladang itu walaupun mendapat ancaman daripada adiknya yang membakar bangsal di ladangnya serta ancaman daripada pihak pemaju yang merampas tanah mereka atas tujuan pembangunan. Namun, berkat kegigihan dan ketabahannya dia bangkit semula untuk mengusahakan semula pertanian betiknya di Selangor.
b) Penyabar.
Dia sentiasa sabar dengan kerenah adiknya shahruzzaman yang sering menuntut duit daripadanya. Dia tetap bersabar walaupun setelah mengetahui bahawa lelaki yang cuba memperkosanya pada malam itu adalah Shahruzzaman. Hal ini dapat dilihat apabila dia tidak mahu melaporkan tindakan adiknya itu kepada polis. Kesabaran Salsabila juga terlakar apabila berdepan dengan ibu tirinya yang pada mulanya sangat benci, dengki dan sering mengetepikannya sehingga menyebabkan Salsabila terpaksa dijaga oleh ibu saudaranya. Namun, sedikitpun di hati Salsabila tidak menyimpan dendam kepada ibu tirinya itu. Berkat kesabarannya itu ibu tirinya akhirnya menjadi baik hingga Salsabila yang sebelumnya memanggilnya sebagai mak cik telah menyebutnya sebagai mak.
c) Bertanggungjawab.
Dia sering menjaga kebajikan pekerja-pekerjanya dengan memastikan setiap pekerja diberi gaji setiap bulan walaupun ada ketikanya dia begitu terdesak akibat menghadapi masalah dengan pihak bank dan pemaju yang tidak membayar wang pampasan tanahnya yang diambil mereka. Dia juga menjaga ibu tirinya yang sering sakit setelah Shahruzzaman sendiri tidak mempedulikannya. Dia juga menjaga Mimi, isteri Shahruzzaman yang sarat mengandung ketika adiknya itu berada dalam tahanan. Dia juga menjaga dan memujuk ibu mertuanya yang lumpuh untuk pergi berubat walaupun sepanjang ketiadaan suaminya di sisi. Dia juga bertanggungjawab memujuk dan menasu=ihati adiknya untuk kembali ke pangkal jalan.
d) Lemah lembut dan menghormati orang tua
Salsabila juga merupakan seorang yang lemah lembut dan tidak pernah bersikap kasar kepada orang tua. Ini yang menyebabkan ibu tiri dan ibu mertuanya amat sayang kepadanya.
3.2 JENIS-JENIS EMOSI YANG TERDAPAT DALAM NOVEL DAN PENGAPLIKASIAN KAEDAH INTROSPEKTIF.
Situasi 1:
“Awak ambil dompet ni. Boleh pergi dan jangan datang lagi.Saya tak mahu tengok muka awak lagi! Saya layan awak macam adik, tapi awak layan saya macam apa! Sazli diam.Saya tidak memandang mukanya.Enggan. Saya segera berpaling. Saya tahu apa yang saya lakukan.Tak perlu memaklumkan kepada Sarjan Bukhari tentang hal ini. Biar saja ia berlalu dan menjadi sejarah. Sudah saya tekankan kepadanya kekeliruan ini adalah satu kekusutan juga. Saya dan dia tak layak bercinta. Anehnya pemuda sebaik itu boleh jadi sangat bernafsu dan cuba memperkosa saya. Dia tidak faham bahasa barangkali. Remaja tanpa kelulusan begini, memang ada sahaja helah jahatnya.
(halaman 157 – 158)
Situasi di atas menggambarkan emosi marah. Emosi ini amat jelas dikesan melalui tindakan Salsabila meninggikan suara tanpa memandang muka Sazli ketika menyerahkan dompet itu. Benarlah pandangan pakar psikologi bahawa di belakang emosi marah terdapat emosi primer seperti hampa, tidak puas hati, resah dan sebagainya yang terbit kerana sesuatu keperluan tidak diselesaikan atau dicapai. Hal ini jelas dibuktikan dengan tindakan Salsabila yang mula berfikiran prejudis sebaik sahaja memarahi Sazli. Benar, kita juga akan berasa marah sekiranya perkara sebegini terjadi. Lebih-lebih lagi apabila melibatkan ancaman kepada maruah diri kita. Tidak dinafikan dalam situasi sebegini kemarahan yang dilepaskan mampu membuat kita berasa lega dan membuatkan orang itu tahu pendirian kita. Namun, manfaat kemarahan ini adalah jangka pendek sahaja. Sebenarnya ia boleh dicapai melalui cara lain yang lebih arsetif. Contohnya apabila perasaan marah timbul, gunakan teknik relaks seperti menarik dan menahan nafas selama lima saat serta urut bahagian dada dan perut. Dengan menenangkan diri dalam situasi genting ini membolehkan kita berfikir secara rasional dan mengelakkan kita daripada bertindak secara meluru. Dalam situasi rasional kita pasti akan melaporkan kepada Sarjan Bukhari bagi memastikan bahan bukti yang dijumpai benar-benar milik pesalah. Di sini kita perlu belajar untuk tidak menghukum seseorang sehingga dia benar-benar didapati bersalah.
Situasi 2:
…Tersilih Sazli, memberi cadangan (yang saya kira satu saranan berat menghampiri perintah daripada seorang suami) supaya menziarahi ibu mertua, dan sebagai seorang Islam ia adalah kemestian. “ Mak abang mak awak, Sal. Kenapa pula dia tak terima awak?” “Maaf, saya nak mewajarkan semua ini, bang. Saya takut kalau, err… mak tak dapat terima keputusan mendadak kita begini. Juga saya rasa macam-macam.”
(halaman 385)
Situasi di atas menggambarkan emosi kerisauan. Hal ini amat jelas ditonjolkan melalui ekspresi emosi yang digambarkan melalui ayat-ayat lisan Salsabila yang sedikit teragak-agak dalam menyampaikan perasaan dan ketidakselesaannya. Bernikah selepas beberapa jam ibu tiri meninggal dunia serta tanpa kehadiran ibu mertua dan keluarga terdekat sememangnya menyingkap rasa kerisauan dalam diri kita. Benar, emosi sebegini akan dirasai oleh sesiapa sahaja yang berada dalam situasi ini. Namun, kita perlulah menghindari pemikiran negatif seperti berburuk sangka ini. Sebaliknya cara yang lebih bijak adalah berfikiran positif. Tambahan pula perkara yang kita lakukan bukanlah perkara yang salah. Pada masa yang sama, kerisauan ini juga boleh diurus dengan cara memperbanyakkan doa kepada Allah mudah-mudahan diberi kemudahan dan petunjuk dalam setiap apa yang kita kerjakan. Selain itu, sikap berterus terang dengan kerisauan atau jujur dengan emosi yang dirasa juga harus dipuji kerana melalui luahan itu kualiti ekspresi emosi yang ditonjolkan mampu memberi maklum balas kepada orang yang ditujuinya supaya dia dapat bertindak dengan sewajarnya. Contohnya, orang yang ditujui itu boleh memberi kata-kata perangsang untuk kita berasa lebih yakin. Hal ini kerana faktor dorongan yang positif dari luar mampu memberikan impak yang positif pada motivasi dalaman seseorang.
Situasi 3:
Saya renung Datuk Ghaffar, bersuara, tiba-tiba sahaja hati saya rasa gundah bertukar sebak pilu. “Bukan niat nak lawan undang-undang pun, Datuk. Kami ni peladang muda nak sertai sekali dalam pembangunan Negara dan bangsa. Kami Cuma minta pertimbangan yang adil sahaja. Betul, pemaju sanggup bayar kos tanah dan segala yang ada di atasnya, tapi pemaju tak dapat bayar satu sen pun untuk segala kenangan tanah pusaka itu. Tak dapat bayar satu sen pun keringat dan usaha kami.” Tiba-tiba segala kesukaran menjadikan ladang betik kenyataan dating menerpa. Saya terlihat penyakit buah, serangga, serangat monyet, bangsal yang terbakar dan Sazli, suami saya di depan mata. Tidak saya sedar air mata mengalir.
(halaman 425-426)
Situasi di atas menggambarkan emosi kecewa. Kekecewaan ini jelas terpancar melalui ekspresi emosinya yang tiba-tiba sahaja berasa pilu apabila mengenagkan hasil pengorbanan dan penat lelahnya selama ini disia-siakan begitu sahaja. Kekecewaan ini juga digambarkan dengan iringan air mata yang mengalir tanpa disedari. Sememangnya diakui bahawa sesiapa sahaja yang berada dalam situasi ini akan berasa kecewa sekiranya apa yang kita usahakan dipandang enteng oleh orang lain. Namun begitu sikap kecewa ini seboleh-bolehnya dielak kerana kekecewaan yang berpanjangan boleh menyebabkan impak negatif pada personaliti dan kesihatan seseorang itu. Justeru antara langkah yang terbaik adalah menggunakan kaedah sublimilasi iaitu salah satu cara pelarasan untuk menggantikan kegagalan dengan alternatif yang lain. Contoh submilasi yang dapat dilakukan dalam situasi ini adalah mencari tanah lain untuk membangunkan semula ladang betik disamping memastikan segala kos ganti rugi yang dijanjikan dibayar oleh pemaju secepat mungkin. Bayaran ganti rugi tadi bolehlah dijadikan modal untuk memulakan kerja-kerja membangunkan ladang baru. Walaupun ia satu proses yang sukar kita perlu merasionalisasikan pemikiran dengan mengatakan bahawa dengan membangunkan ladang betik buat kali yang ke-2 akan lebih mudah dan membuahkan lebih banyak hasil kerana segala pengalaman sewaktu membangunkan ladang pertama boleh dijadikan panduan. Dalam erti kata lain, cara ini membolehkan kekecewaan yang dihadapi itu disubmilasikankepada satu perkara yang baik dan bermanfaat.
Situasi 4:
“Kakak suka kan, abang Zaman tak ada sekarang?” Kata-kata itu terlepas mendadak. “Maksud Mimi?” “Saya tahu apa salah besar abang Zaman tu. Sekarang kakak puas hati?” Saya masuk semula menapak mendekati Mimi dan entah apa yang merasuk, saya layangkan satu tamparan ke pipi adik ipar saya itu. “Melampau-lampau”
(halaman 614)
Situasi di atas menggambarkan emosi geram. Ini dibuktikan dengan tindakan Salsabila yang menampar pipi adik iparnya secara tiba-tiba kerana bersangka buruk terhadapnya. Sememangnya dalam situasi begini kita akan berasa geram dengan tindakan Mimi yang menuduh sedemikian rupa tambahan pula Shahruzzaman baru sahaja meninggal dunia dan dalam perjalanan untuk dibawa pulang ke kampung. Namun begitu, kita tidak seharusnya mengikutkan perasaan geram itu sebaliknya menunjukkan kesedaran sosial dengan menunjukkan tingkah laku seperti empati. Melalui empati kita akan mampu memahami, peka, mengambil berat dan bersedia mendengar luahan perasaan dan masalah yang dihadapi Mimi sekaligus bersedia untuk membantunya. Hal ini kerana Mimi baru sahaja kehilangan suami yang tercinta, sudah tentu hatinya sedang berkecamuk dan memerlukan seseorang untuk menenteramkannya. Justeru, pada masa yang sama kita perlulah bijak untuk menggunakan kemahiran sosial seperti kemahiran dari aspek komunikasi di mana kita seharusnya bertolak ansur dengan apa yang diperkatakan Mimi kerana dia sendiri berada dalam keadaan separa rasional, serta menggunakan pengurusan konflik dengan cara mempamerkan diplomasi ketika menangani situasi tegang, mengesan dan mengambil tindakan yang bijak dalam menyelesaikan perselisihan.
Sunday, August 2, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

assalamuaikaum kak.
ReplyDeleteakak..
ambil cepren nie dari buku ape?
best je nmpk citenya!!
leh tak nak tau, apa nama buku tu dan tahun diterbitkan/nama publisher?
Plzzz and tq.. i really need ur co-operation.